Saturday, January 23, 2010

Salam pembuka bicara..

Assalamualaikum..salam manis pembuka bicara..menyulam kata penuh keikhlasan..
Ini merupakan kali pertama saya menulis dan diharapkan segala ilmu yang ada dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya...mungkin ini bukan yang terbaik,tetapi diharap menjadi salah satu sumber rujukan anda semua..

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki,
Berburu kepala ajar
Bagai bunga kembang tak jadi.

KARANGAN UMUM(BAHAGIAN B)

Seperti biasa, setiap karangan lengkap mesti mempunyai perenggan pendahuluan, isi penting dan penutup. Tapi sebelum itu, mari kita tengok apakah kaedah penulisan karangan yang betul.

TOPIK: Keganasan Rumah Tangga

Pembangunan negara kita semakin pesat dan rancak. Namun demikian, isu keganasan rumah tangga yang merupakan penyakit sosial semakin gawat melanda diri kita. Gejala ini ibarat ‘duri dalam daging’. Apakah yang dimaksudkan dengan keganasan rumah tangga? Apakah faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya masalah sosial ini? Siapakah yang harus dipersalah? Di manakah hilangnya nilai-nilai kemanusiaan kita? Mengapakah usaha-usaha yang telah dijalankan selama ini gagal mencari jalan penyelesaian untuk menangani gejala ini? Apakah rencah yang terbaik untuk membanteras penyakit sosial yang rumit ini? Inilah antara persoalan yang harus dijadikan renungan dan perbincangan kita.

Pendahuluan Berbentuk Peribahasa
TOPIK: Seperti Kacang Lupakan Kulit

Orang Melayu memang kaya dengan peribahasa yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan. Antara peribahasa yang menggambarkan seseorang yang tidak mengenang budi dan jasa ialah ’seperti kacang lupakan kulit’ dan ’seperti ulat lupakan daun’. Peribahasa ’seperti kacang lupakan kulit’ bermaksud seseorang yang lupa akan orang yang telah menolongnya setelah menikmati kesenangan. Oleh itu, sikap seperti ini perlu dikikis dalam hidup kita. Kita haruslah sentiasa menghargai dan berterima kasih kepada segala jasa, pertolongan dan pengorbanan orang lain kepada kita. Orang yang mengamalkan prinsip hidup ’seperti kacang lupakan kulit’ tidak akan hidup bahagia sama ada di dunia ataupun akhirat.


Pendahuluan Berbentuk Fakta

TOPIK: Bersama Memerangi Budaya Ponteng Sekolah

Gejala ponteng sekolah yang berlaku sejak akhir-akhir ini kian menjadi-jadi dan sukar dibendung. Kajian yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran membuktikan bahawa masalah ini boleh dikatakan meningkat setiap tahun. Hakikatnya, budaya ponteng sekolah ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja, malah perlu ditangani segera.

Setelah membaca dapatkah pelajar-pelajar mengecam perbezaan gaya pembukaan karangan untuk ketiga-tiganya?
PERENGGAN PENDAHULUAN:

Bahagian kepala karangan sama maksud dengan perenggan pendahuluan. Perenggan ini melibatkan tema dan isu semasa. Jangan masukkan apa-apa contoh dalam perenggan ini. Ayat akhir dalam perenggan ini sebaiknya menggunakan ayat tanya yang merujuk kepada skop soalan. Perenggan pendahuluan hendaklah mempunyai LIMA PERKARA yang ditulis dalam satu perenggan:

i. Ayat Tema : merujuk kepada tema karangan
ii. Isu Semasa
iii. Huraian Isu
iv. Pendapat
v. Pendirian Penulis/ Ayat Arah : merujuk kepada skop soalan

Contoh:

(Tema)Komuniti hari ini sering digembar-gemburkan dengan pelbagai rancangan televisyen realiti.(Isu semasa Rancangan televisyen realiti kini semakin mendapat tempat dalam hati populasi di negara ini.(Huraian isu) Tambahan pula , setiap rumah di negara ini sekurang-kurangnya mempunyai sebuah televisyen. Hal ini memudahkan penerbit untuk menerbitkan pelbagai rancangan televisyen realiti. Oleh sebab itu, pertambahan rancangan televisyen realiti semakin meningkat dari semasa ke semasa. Antara rancangan televisyen realiti yang sering dipaparkan melalui skrin televisyen sekarang termasuklah `Akademi Fantasia’, `Mentor’, `One In A Milion’ dan banyak lagi. (Pendapat) Penerbit rancangan-rancangan tersebut berpendapat bahawa dengan penerbitan rancangan tersebut dapat menyediakan ruang bagi mencungkil bakat-bakat dalam bidang nyanyian dan lakonan melalui mekanisma yang betul. Walhal, mereka mengaut keuntungan yang besar daripada penonton dengan mengadakan undian melalui sistem pesanan ringkas. Hal ini dapat diibaratkan seperti pepatah Melayu ”sambil menyelam minum air”. (Skop soalan)Persoalannya apakah kesan-kesan rancangan televisyen realiti kepada komuniti di negara kita?


Baiklah kini tiba waktu untuk latihan. Mudah sahaja.

Pelajar-pelajar perlu memilih untuk menghasilkan 2 sahajapendahuluan karangan yang topiknya saya berikan di bawah ini.

Gunakan teknik yang berbeza bagi melakarkan pendahuluan kamu. Contohnya kamu pilih teknik pendahuluan fakta dan peribahasa, atauperibahasa dan persoalan atau persoalan dan fakta.

TOPIKNYA (Pilih 2 topik berbeza untuk teknik berbeza):

1. Punca Gejala Buang Bayi dan Penderaan.

2. Kesan Negatif Kedatangan Pekerja Asing.

3. Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya.



PERENGGAN ISI:

Bahagian tubuh karangan atau dikenali sebagai perenggan isi karangan mestilah dibina secara sekata bagi setiap perenggan. Penulisan isi karangan yang baik mesti mempunyai empat unsur atau perkara. Unsur-unsur tertsebut terdiri daripada:

i. Ayat Fokus : isi utama
ii. Ayat Huraian : 5W1H (MASB2D)
iii. Ayat Contoh : relevan dan terkini
iv. Ayat Simpul : kesimpulan perenggan

Ayat fokus mestilah dimulakan dengan pernyataan isi dan ditulis dalam satu ayat sahaja. Gunakan ayat penyata yang jelas dan berwibawa. Ini diikuti dengan ayat huraian daripada penyataan isi. Gunakan teknik penyoalan 5W1H. Jumlah ayat huraian tidak terhad tetapi bergantung pada kemampuan pelajar. Seterusnya, pelajar perlu mengemukakan contoh atau bukti bagi menyokong huraian di atas. Contoh / bukti yang diberikan mestilah relevan dan terkini. Gunakan sumber rujukan daripada majalah atau akhbar harian. Setiap isi karangan mesti diakhiri dengan ayat kesimpulan.

Perenggan isi mesti terdiri sekurang-kurangnya LIMA ISI yang ditulis dalam lima perenggan. Setiap perenggan mesti diselangkan dengan satu baris. Jangan dicampuradukkan beberapa isi dalam dalam satu perenggan.

Contoh:

(Ayat fokus) Rancangan televisyen realiti mendatangkan pelbagai impak negatif kepada masyarakat di negara kita.(Ayat huraian)Rancangan televisyen realiti ini menyebabkan berlakunya pembaziran sama ada masa atau wang. Rancangan ini melalaikan para penonton. Hal ini kerana penonton yang menggemari rancangan ini akan setia menanti di hadapan televisyen untuk menonton rancangan tersebut. (Ayat contoh)
Selain itu, mereka sanggup juga membatalkan janji temu mereka dengan sahabat handai semata-mata ingin menonton rancangan tersebut yang tidak membawa keuntungan kepada penonton. Para pelajar turut membuang masa dengan menonton rancangan tersebut dan menggadaikan masa ulang kaji mereka. Sehubungan dengan itu, rancangan televisyen realiti ini juga membazirkan wang para penontonnya. Hal ini kerana para penonton akan mengundi artis pilihan mereka. Walaupun satu undian hanya bernilai RM1, tetapi para penonton perlu menghantar undian mereka beberapa kali untuk memastikan artis yang diminati mereka berjaya. (Ayat simpul)Jelaslah di sini bahawa rancangan televisyen realiti ini membazirkan masa dan wang.

*LATIHAN:huraikan isi penting yang diberikan dalam tajuk-tajuk di bawah dalam 3 perenggan isi yang berlainan. Punca Gejala Buang Bayi – kurang didikan agama
2. Kesan Negatif Kedatangan Pekerja Asing.- kadar jenayah melibatkan warga asing meningkat

3. Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya.- ibu bapa sebagai idola anak-anak


PERENGGAN PENUTUP:

Sesebuah karangan perlu mempunyai “kaki” supaya boleh berdiri kukuh. Perenggan penutup ini tidak boleh diabaikan oleh pelajar kerana berperanan sebagai pelengkap sesebuah karangan. Unsur yang perlu ada dalam perenggan ini ialah:

i. Ayat Kesimpulan
Ii. Ayat Cadangan
Iii. Ayat Harapan
Iv. Ayat Penegasan

Ayat pertama yang ditulis merumuskan keseluruhan isi yang telah dibincangkan. Jangan masukkan isi baru dalam perenggan ini. Rumusan secara umum tentang keseluruhan isi sudah memadai untuk menyimpulkan karangan. Kemudian, nyatakan cadangan dan harapan anda terhadap isu yang telah dibincangkan. Sebagai penutup ayat karangan anda, pelajar digalakkan menegaskan pendirian terhadap keseluruhan isi karangan.

Contoh:

(Ayat kesimpulan) Kesimpulannya, rancangan televisyen realiti mendatangkan pelbagai kesan dan dapat memudaratkan masyarakat di negara kita. (Cadangan) Bagi penerbit yang ingin menerbitkan rancangan televisyen realiti ini haruslah semata-mata untuk mencungkil bakat baru dalam kalangan masyarakat di negara kita. Pihak penerbit tidak seharusnya mengambil kesempatan daripada rancangan yang diterbitkan. Selain itu, pihak penerbit perlu juga mengurangkan undian melalui sistem pesanan ringkas. Peserta-peserta haruslah dinilai berdasarkan bakat yang terpendam dalam diri mereka bukan kerana kecantikan rupa paras semata-mata. Rancangan televisyen realiti haruslah dikurangkan. Hal ini penting untuk mengelakkan pertambahan masalah sosial dalam kalangan remaja di negara kita. Pihak penerbit haruslah menggantikan rancangan televisyen realiti dengan rancangan-rancangan ilmiah yang lebih memberikan keuntungan sama ada kepada penerbit ataupun penonton. (Harapan) Dengan ini, masyarakat yang berilmu dapat dilahirkan di negara kita. (Penegasan) Saya yakin andainya cadangan ini dapat dilaksanakan sudah pasti akan dapat meningkatkan imej dan karier masyarakat di negara ini walaupun sebagai seniman dan seniwati dalam bidang seni nyanyian dan lakonan.

LATIHAN: tulis perenggan penutup bagi fokus soalan berikut dalam 3 perenggan yang berasingan.

-Langkah-langkah menjadikan membaca sebagai budaya hidup yang sihat
-Kepentingan budi bahasa
-Kebaikan dan keburukan teknologi komputer kepada masyarakat

1 comment:

  1. alangkah bagus bila mendapat tahu para guru seperti Cikgu Mahani berkongsi ilmu di laman sesawang..

    selamat maju jaya dalam blog..

    ReplyDelete